Orang bunian dikatakan makhluk alam ghaib yang berbeza daripada jin tetapi wujud di dunia yang sama dengan manusia. Orang bunian memiliki rupa dan corak kehidupan sama seperti manusia. Bagaimanapun, seperti jin, orang bunian turut tidak dapat dilihat manusia sekali gus kewujudannya menjadi misteri yang membingungkan ramai pihak sehingga kini. Sesetengah masalah kerasukan dikatakan berpunca dari orang bunian.
Terdapat beberapa teori yang dikemukan pengkaji mengenai asal usul kewujudan orang bunian. Antaranya, masyarakat bunian dikatakan wujud apabila berlakunya perkahwinan antara manusia dan jin. Anak yang terhasil daripada perkahwinan inilah yang dipecayai sebagai orang bunian. Teori perkahwinan manusia dan jin turut berpendapat bahawa orang bunian memiliki persamaan jasad dan kehidupan seperti manusia kerana mewarisi keturunan manusia. Walau bagaimanapun, jasad dan alam mereka tidak dapat dilihat kerana mewarisi keturunan jin.
Selain itu, teori lain mengatakan orang bunian pada asalnya adalah golongan manusia beriman yang taat kepada perintah Tuhan. Walau bagaimanapun, mereka kemudiannya melakukan satu dosa. Selepas menyedari kesilapan mereka, golongan berkenaan berdoa supaya Tuhan melenyapkan diri mereka daripada dilihat manusia lain lantaran terlalu malu dengan dosa yang telah mereka lakukan.
Teori terakhir ialah orang bunian dikatakan termasuk dalam golongan makhluk halus. Mereka dikatakan wujud dalam masyarakat besar, menyerupai sturktur sosial manusia, mempunyai keluarga, puak, dan masyarakat. Orang bunian dikatakan mendiami kawasan hutan belantara, jauh dari perhubungan manusia, tetapi ada juga yang tinggal berdekatan dengan manusia malah berkongsi rumah dengan keluarga manusia. Ada juga yang tinggal berdekatan dengan manusia malah berkongsi rumah dengan keluarga manusia. Penempatan orang bunian juga dikatakan sama dengan manusia dan mereka turut membina rumah dan sebagainya.
Pengkaji orang bunian dan beberapa pihak yang mengaku pernah melihat dunia makhluk bunian merumuskan bahawa rupa orang bunian adalah sama seperti manusia malah corak kehidupan masyarakat bunian juga sama seperti masyarakat manusia. Apa yang membezakan mereka dengan manusia adalah manusia tidak dapat melihat jasad dan alam kehidupan mereka walaupun mereka sebenarya berada di dunia yang sama dengan manusia.
Pengkaji berpendapat bahawa manusia tidak dapat melihat orang bunian kerana jasad mereka hanya memiliki unsur angin dan api, sama seperti jin. Manakala jasad manusia bersifat pejal kerana memiliki empat unsur iaitu api, angin, tanah dan air.
Walau bagaimanapun, pengkaji berpendapat bahawa terdapat kes-kes tertentu yang membolehkan manusia melihat dunia orang bunian dengan izin Tuhan. Iaitu dengan cara orang bunian 'menumpang' di dalam badan manusia tanpa disedari, seterusnya mempelajari ilmu yang membolehkan mereka menjelmakan diri untuk dilihat manusia. Melalui situ juga manusia mempelajari ilmu tertentu untuk melihat ke dunia bunian.
No comments:
Post a Comment